Thursday, December 16, 2010

Kisah Pemuda, Janda Dan Dot Dot Dot...

Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang sangat miskin dan miskin...dan miskin. Kenapa saya ulang sampai tiga kali? Teruskan membaca baru dapat rasa betapa miskinnya pemuda ini. Kasihan!

Pemuda ini tidak mampu membeli makanan sehingga beberapa hari tidak makan. Dia tiada rumah dan menjadi 'tetamu tetap' di sebuah masjid di kampungnya kerana tempat tinggalnya memang di masjid. Oleh kerana kebanyakan masa hariannya di masjid, dia seringkali mengikuti majlis-majlis ilmu di masjid itu; kuliah, tazkirah, ceramah dan apa-apa sahaja majlis ilmu di sana. Itulah keistimewaan pemuda ini. Walaupun miskin dan kelaparan, menghadiri majlis ilmu adalah rutin hidupnya.

Suatu hari pemuda ini berasa sangat lapar. Sungguh kasihan kerana dia tidak mampu membeli apa-apa makanan. Hampir mati akal dia memikirkan bagaimana ingin mengisi perutnya kerana dia benar-benar kelaparan. Sehinggalah terdetik di dalam hati...

"Urm, bagaimana jika aku menyelinap masuk ke rumah orang-orang kampung dan mencuri makanan mereka? Aduh! Aku merasakan benar-benar dalam keadaan darurat. Mungkin dalam keadaan darurat begini menjadi keringanan buatku untuk mencuri," pujuk hatinya ketika risau jika ia dalam keadaan berdosa.

Pemuda miskin ini nekad. Ditunggunya sampai hari semakin gelap dan dia mula bergerak perlahan-lahan ke sekitar kampung. Dipanjatnya dari bumbung ke bumbung yang lain demi mencari sesuap dua makanan. Akhirnya, setelah berusaha memanjat, sampailah dia ke sebuah rumah. Gelap. Sunyi.

"Ah, sudah tentu penghuninya tiada sekarang. Baik aku masuk!"

Dia pun dengan segera menyelinap masuk dengan harapan tekaannya benar. Ya, dia memang benar kerana sungguh rumah tersebut tidak berpenghuni buat sementara waktu. Berbekalkan kesamaran cahaya dari celahan tingkap, pemuda ini menuju ke dapur dan terlihat sebuah periuk. Ketika membuka tudung periuk itu, dia terkejut.

Sebiji TERUNG!

Itu sahaja yang dijumpainya. Pemuda itu lantas mengambil terung tadi dan mula menggigitnya kerana benar-benar kelaparan walaupun ia hanya sebiji terung. Setelah sekali menggigit, tiba-tiba dia tersentak.

"Ya Allah! Apakah yang aku sedang lakukan. Malu aku pada-Mu Tuhan! Mana mungkin aku mencuri harta orang lain sedangkan aku adalah orang yang yang menjadi tetamu di masjid, menjadi tetamu dalam majlis-majlis agama. Tidak sepatutnya aku bertindak sebegini. Aku takut akan-Mu wahai Tuhan yang melihat segala tindak tandukku. Ampuni aku, aku amat takut akan balasan-Mu"

Sepantas kilat dia meletakkan semula terung yang telah selamat digigitnya sekali dan menyelinap keluar, hilang dalam kegelapan.

Esoknya...

Penduduk kampung mulai keluar masjid setelah tamatnya kuliah pada petang itu. Hanya beberapa orang yang masih di dalam masjid membaca Al-Quran. Seorang wanita masih berdiri di perkarangan dalam masjid dalam keadaan yang resah. Wanita tersebut pantas mendekati tok imam yang telah memberikan pengisian petang itu.

"Tok Imam, tolong bantu saya. Saya benar-benar buntu..." rayu wanita itu.

"Ya Allah, kenapa dengan kau wahai anakku. Ceritakanlah... jika aku boleh membantu, InsyaAllah aku akan membantumu."

"Aku ini seorang janda. Suamiku telah meninggal dunia," esakan mulai kedengaran.

"Beberapa hari lepas, aku telah diganggu oleh pemuda-pemuda kampung ini dan sungguh aku merasakan tidak selamat dan terasa terancam."

Tok Imam itu terdiam. Kerutan jelas di dahinya.

"Aku... aku ingin tok imam membantuku mencarikan seorang suami untukku kerana aku tidak ingin lagi terus diganggu oleh pemuda-pemuda di sini," ujarnya.

"Apa benar kau ingin aku membantu mu?" tanya imam tua tersebut. Wanita tersebut mengangguk.

Imam tua itu merenung ke sekeliling masjid. Lantas matanya terpaku pada pemuda miskin yang sedang bersandar di tepi tiang.

"Wahai pemuda, mahukah kamu ke mari?" Perlahan-lahan pemuda itu melangkah mendekati Tok Imam dan wanita tersebut.

"Sudikah kau mengahwini wanita ini?" pantas imam tua itu menyoal.

"Ya Allah, adakah ini hanya khayalanku? Aku ingin berkahwin, tapi percayalah, untuk membeli sebuku roti pun aku tidak mampu, apatah lagi untuk menanggung orang lain!" jujur pemuda itu menjawab.

"Usah khuatir wahai pemuda. Aku tidak perlukan hartamu. Aku sudah ada rumah yang arwah suamiku tinggalkan untukku. Aku tidak memerlukan hartamu. Aku hanya perlukan seorang lelaki yang boleh menjaga dan melindungiku dari ancaman luar," balas wanita tersebut.

Diam. Lama pemuda itu berfikir. Dia kemudian mengangguk perlahan.

Setelah bernikah disaksikan beberapa tetamu masjid, tok imam itu berkata;

"Sekarang pulanglah kamu bersama suamimu ini. Semoga pernikahan ini mendapat keberkatan-Nya dan dapat menyelamatkan kamu daripada gangguan orang."

Setibanya di rumah, wanita itu terus bertanya kepada pemuda miskin yang telah selamat menjadi suaminya.

"Adakah kau ingin makan? Aku akan menyiapkannya untukmu, wahai suamiku."

Pemuda itu hanya mengangguk. Dalam fikirannya sekarang bukan tertumpu pada makanan (walaupun pada hakikatnya ia memang kelaparan) tetapi rumah wanita tersebut. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dia pernah berada di situ sebelumnya.

"Kenapa aku seperti mengenali rumah ini?" soalnya dalam hati sambil berkerut. Oh tidak! Jangan-jangan...

"Silalah makan dahulu," kata si wanita sambil menghidangkan sesuatu.

"Ya Allah... adakah aku bermimpi? Ini adalah terung yang telah ku gigit semalam. Ya Allah..apakah tandanya ini?"

"Maaf wahai suamiku. Aku hanya ada terung ini yang sempat ku rebus semalam. Aku terkejut kerana ia telah digigit. Pelik, siapa yang telah mengigitnya sedangkan tiada sesiapa di rumah ini sewaktu ku keluar," jelas wanita itu dalam kesayuan kerana tidak mampu menghidangkan yang terbaik untuk suaminya.

"Wahai isteriku. Mahukah kau mendengar suatu kisah? Se.. sebenarnya aku lah yang telah menyelinap masuk ke rumahmu semalam dan menggigit terung ini," akui pemuda itu ikhlas. Berubah wajah wanita itu.

"Maafkan aku. Semalam, aku sangat kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan dan aku tidak mampu untuk membeli apapun. Aku bertekad untuk mencuri makanan di luar. Ku fikir aku benar-benar dalam keadaan darurat. Namun, setelah selamat mengigitnya sekali, aku merasa benar-benar tersedar dan merasakan sangat takut kepada Allah yang menjadi saksi perbuatanku. Aku malu... aku takut akan azabnya atas kelalaianku. Maafkan aku," ujar pemuda itu sambil tertunduk menangis.

"Tidak mengapa suamiku. Aku sudah memaafkanmu. Akan tetapi ketahuilah bahawa aku benar-benar cemburu akanmu. Tahukah kau mengapa?" soalnya.

Pemuda itu berhenti menangis lalu merenung isterinya.

"... kerana sifat TAQWA mu! Kerana takutkan Allah, kau berhenti daripada terus melakukan dosa dan berterus-terang padaku. Sekarang, tidakkah kau sedar? Kerana sifat TAQWA yang ada pada dirimu itu, Allah membalasnya semula bukan hanya dengan terung yang telah kau gigit semalam, tapi seluruh isi dalam rumah ini termasuk diriku kepadamu, telah menjadi milikmu secara halal. Tidak perlu lagi kau mencuri. Semuanya telah Allah hadiahkan semula kepadamu kerana KETAQWAANmu itu," ujar wanita itu sambil tersenyum. Pemuda miskin itu cepat-cepat bersujud tanda mensyukuri hadiah Allah kepadanya.

Jika pembaca dapat menilai kembali kisah ini daripada asal, apakah 'main point' yang saya ingin sampaikan?

Ia adalah tentang TAQWA.

Kerana takutkan Allah, pemuda itu telah meninggalkan semula terung yang digigitnya ke tempat asal. Dia malu kepada Allah, dan dia benar-benar takut Allah akan menghukumnya. Kerana TAQWA yang ada padanya, Allah membalasnya semula bukan sahaja terung yang selamat digigitnya tanpa izin, tetapi termasuk tuan empunya rumah dan isi rumah tersebut kepadanya. Semuanya secara HALAL tanpa perlu rasa ragu-ragu.

Akan tetapi bukan harta dunia yang dikejar, tetapi rasa takut yang berterusan kepada Tuhan yang Maha Melihat, yang Maha Mengetahui dan yang Maha Pengasih, dalam melakukan sesuatu walaupun ia hanya sekecil-kecil hal (dalam kisah ini: mencuri sebahagian kecil terung!). Sesungguhnya beruntung bagi orang-orang yang bertakwa kerana kasih sayang Allah yang berlipat ganda bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (Akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan" (Surah Al-Hasyr: 18)

Kemudian Allah sambung lagi dalam surah yang sama, ayat seterusnya;

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehinggalah Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik." (Surah Al-Hasyr: 19)

Wasiat Nabi صلى الله عليه وسلم kepada Muadz bin Jabal رضي الله عنه , "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, tampallah keburukan dengan kebaikan niscaya akan dapat menghapusnya dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

Dan banyak lagi firman Allah dalan Al-Quran tentang taqwa. Marilah berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa demi menggapai redha-Nya dalam setiap inci pun yang kita lakukan. Kita masih lagi ada masa.

Oh ya! Sebenarnya space yang sengaja saya tulis 'dot-dot-dot' pada tajuk di atas adalah sebenarnya:

"Kisah Pemuda, Janda dan TAQWA".

Moga kisah ini bermanfaat untuk semua termasuk diri saya.

No comments:

Post a Comment